Feb 3, 2011

Pembacaan dan Pertumbuhan Akal Budi

Jika kita membaca untuk menjadi pembaca yang lebih baik, maka tidaklah boleh kita membaca sebarang buku atau rencana. Kita tidak akan bekembang sebagai seorang pembaca jika yang kita baca selamanya merupakan buku-buku termasuk dalam lingkungan kemampuan kita semata-mata.


Kita mestilah membaca buku-buku yang terletak di luar kemampuan , yakni buku-buku yang memaksa kita bertungkus-lumus memahaminya, dan kita tidak akan mempelajari sesuatu jika tidak sanggup bekerja.  Oleh yang demikian, perkara yang penting ialah, bahawa kita bukan sahaja dapat membaca dengan baik, tetapi mengetahui buku yang manakah yang akan menolong kita mempertingkatkan kemahiran membaca.  Kita tidaklah perlu berasa khuathir bahawa buku-buku yang demikian itu terlalu sukar untuk difahami, kerana tidaklah ada buku yang terlalu sukar jika kita mematuhi peraturan-peraturannya.


Ada pembaca yang membuat kesilapan dengan menganggap bahawa buku-buku yang akan membantu mereka menjadi pembaca yang lebih mahir adalah buku-buku tentang perkara-perkara luar biasa seperti sains dan mungkin juga falsafah; tetapi ini tidaklah benar. Kadangkala, buku-buku sains yang agung itu lebih mudah dibaca daripada buku-buku bukan sains, kerana para pengarang buku sains berusaha membantu kita memahami istilah-istilah dan pernyataan-pernyataanya dan mengemukakan hujah-hujahnya dengan jelas. Bantuan sepeti ini tidaklah terdapat pada karya cereka, yang mungkin menjadikannya sukar dibaca, kerana buku-buku sedemikian sukar diikhtisarkan dan diketemukan strukturnya.  Tidaklah perlu kita bersusah payah dengan buku seperti ini, kerana tidak ada manfaat yang akan kita perolehi sebagai ganjaran daripada usaha kita itu.

Namun demikian, sebuah buku yang baik wajarlah diusahakan pembacaanya kerana, pertamanya, akan terjadi peningkatan kemahiran kita membaca apabila kita menguasai sebuah buku yang baik lagi sukar.  Keduanya, buku ini akan mengajar kita sesuatu tentang alam dan tentang diri kita sendiri.  Kita memperolehi sesuatu yang lebih daripada sekadar cara membaca yang baik; dan kita juga mempelajari sesuatu tentang kehidupan.  Kita menjadi lebih bijaksana.  Bukan sekadar lebih berpengetahuan-buku yang hanya mengandungi makluman dapat memberi kesan yang demikian-tetapi lebih bijaksana, dengan erti kata bahawa kita lebih memahami hakikat-hakikat yang lebih agung serta abadi tentang kehidupan manusia.


Kehidupan dan Pertumbuhan Akal Budi


Berbeza daripada tubuh badan, tidaklah terdapat batasan bagi pertumbuhan dan perkembangan akal budi.  Hanya apabila otak sendiri tidak bermaya lagi, yang kadangkala terjadi apabila umur telah lanjut, barulah akal budi kehilangan tenaganya untuk mempertingkatkan kemahiran pemahamannya.  Namun demikian, tenaga akal budi akan menjadi lemah jika tidak digunakan.  Oleh itu, membaca dengan baik, yang bererti membaca secara aktif, bukan sahaja suatu perbuatan yang bermanfaat, dan tidak pula sekadar satu cara untuk memcapai kemajuan dalam pekerjaan kita.  Malah perbutan itu berperanan untuk memungkinkan akal budi kita terus hidup dan berkembang.

2 comments:

  1. Ya, setuju! Pendek kata, adalah elok apabila kita mengembangkan minda kita supaya tidak hanya berkisar tentang perkara yang menjadi kebiasaan dalam ruang lingkup keilmuan kita.

    Ashadi Zain
    (ashadizain@gmail.com)
    http://artikelashadizain.blogspot.com/

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...